BISMILLAHIRROHMANIRROHIM
Renungan Jum'at 08 Maret 2013
----------------------------------------------------------------------------
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam
buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat
dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Ketika dalam perjalanan pulang dari bertemu Rasulullah s.a.w.,
Saydina Ali r.a. terserempak dengan sahabatnya, Salman al-Farisi r.a.
Kesempatan ini diambil oleh Ali r.a. untuk berkongsi nasihat yang telah
di sabdakan oleh Nabi s.a.w. Lalu Ali r.a. menceritakan nasihat Nabi
s.a.w. kepadanya untuk didengar oleh Salman r.a. yang sedang dalam
kesedihan.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; ”Ketahuilah olehmu Ali,
bahawa rezeki para hamba itu ada di tangan Allah sehingga kesedihanmu
itu sama sekali tiada gunanya. Ini kerana ia tidak membahayakan (tidak
menghalang datangnya rezeki) dan tidak menguntungkan (menentukan
datangnya rezeki). Cuma, kau mendapat pahala atas kesedihan yang
menimpamu itu dan jadilah engkau orang yang bersyukur, taat dan
bertawakal kepada Allah, maka engkau termasuk sahabat-Nya.”
Kemudian Ali r.a. bertanya kepada baginda, ”Atas apa aku bersyukur?”
Balas baginda, ”Atas agama Islam.” (kerana nikmat Islam jauh lebih utama dari nikmat yang lain).
Sambung Ali r.a., ”Apa pula yang harus aku taat?”
Beginda menjawab, ” Bacalah Laa hau la wa laa quwwata illa billahil
‘aliyyil azim.” (akur pada bijaksana Allah dalam mengkadar rezeki).
Ali r.a mengajukan satu soalaan lagi, ”Apa yang mesti ku tinggalkan?”
Baginda s.a.w menjawab, ”Tinggalkan marah. Sesungguhnya ia dapat
memadamkan murka Allah, memberatkan timbangan dan menuntun ke Syurga.”
Mendengar penjelasan sahabatnya itu, Salman berkata, ”Semoga Allah menambah kemuliaan kepadamu, wahai Ali.”
Ali mengakhiri pertemuan itu dengan nasihatnya, ” Hai Salman,
Syurga teramat rindu kepada orang-orang yang susah dan sedih
memperhatikan (dalam mencari) sesuatu yang halal.”
BERSABARLAH KERANA ALLAH
Sabar, adalah kalimat yang mudah diucapkan. Namun berapa ramai
antara kita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah sabar
itu ada batasnya?, Sabar yang bagaimana sehingga ia diiktiraf sebagai
sebahagian dari iman? Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang
sabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan Allah s.w.t.?
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka
sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi
lemah (mental) kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak lesu
(dalam penampilan), dan tidak menyerah (dalam aktiviti). Allah menyukai
orang-orang yang sabar.” (Surah Ali Imran ayat 146)
Menurut Imam Ghazali, sabar adalah sifat khas manusia yang tidak
dimiliki makhluk-makhluk lain. Oleh itu, sabar amat penting dan utama
dalam mengharungi kehidupan. Bahkan kemaksiatan yang tumbuh dalam
masyarakat juga disebabkan oleh manusia yang tidak sabar dalam
menghadapi kehidupan dunia yang penuh dinamik.
Abu Talib al- Makky berkata, ”Banyaknya kemaksiatan yang dilakukan
oleh sesaorang kerana dua perkara ; Pertama : Kerana sedikitnya
kesabaran terhadap sesuatu yang disenangi atau disukai. Kedua : Kerana
sedikitnya kesabaran terhadap sesuatu yang tidak disukai.”
Namun demikian, masih ramai umat Islam yang keliru dalam memahami
ertikata sabar. Ada yang menyangka, sabar bererti ‘mengusap dada’ setiap
kali menghadapi masaalah hidup. Ada pula mengungkap sabar itu ada
batasnya, lalu apabila sampai dibatasnya kesabaran akan hilang ! Adakah
ini sudah memadai untuk dinamakan sabar?
Dari ayat 146 surah Ali Imran menunjukkan sekurang-kurangnya terdapat tiga kriteria orang sabar iaitu :
Pertama : Tidak pengecut atau lemah mental apabila berhadapan
dengan kesulitan hidup. Dia dapat mengawal diri dan segera menstabilkan
emosi dan mentalnya, sebelum orang lain menasihatkannya.
Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi sebuah kawasan
perkuburan. Baginda melihat seorang ibu menangis tersedu-sedu sambil
menutup mukanya diatas pusara anaknya yang baru sahaja dimakamkan. Nabi
menghampiri seraya bersabda yang bermaksud :”Wahai ibu, bertakwalah
kepada Allah dan bersabarlah.”
“Engkau tak tahu apa yang aku rasakan,” katanya.
Nabi pun meninggalkannya. Seorang sahabat yang menyaksikan
peristiwa tersebut, berkata kepada wanita tadi, ”Adakah engkau tahu,
siapa yang berbicara denganmu tadi? Itu adalah Rasulullah s.a.w!
Wanita itu terkejut. Bergegas dia mengejar Nabi Muhammad s.a.w
ingin meminta maaf atas kelancangan perilakunya. Ketika bertemu, Nabi
s.a.w bersabda yang bermaksud : ”Sesungguhnya sabar yang sejati hanyalah
pada saat seseorang terkena musibah untuk kali pertama!”
Kedua : Dia merasa tidak lesu dari segi penampilannya. Seseorang
yang bersifat sabar tidak pernah merasa perlu menampilkan kesedihan atau
kesulitan masalahnya kepada orang lain. Diraut wajahnya tidak
menampakkan kelesuan atau kesugulan walaupun berapa sulitnya masalah
yang dihadapinya. Dia sedar betul bahawa tiada manusia didunia ini yang
tidak luput dari masalah. Untuk dia bertenang menghadapi keadaan ini dia
sentiasa berhubung dengan Allah s.w.t. dengan dia berdoa, bermunajat,
bersolat tahajjud, berzikir dan membaca Al-Quran.
Ketiga : Tidak menyerah atau tunduk dari segi aktivititas. Seorang
yang sabar sentiasa memelihara ketekunan dan ketahanan dirinya. Dia
sentiasa gigih dalan usaha mencapai sasarannya. Dia seorang yang tidak
kenal perkataan putus asa. Tidak ada dalam kamus hidupnya putus harapan.
Dia tidak mudah patah semangat apabila berhadapan dengan kegagalan. Dia
selalu memelihara dan mengembangkan sikap positif dan optimis dalam
hidupnya. Jika dia menemui kegagalan hari ini dia akan cuba sekali lagi
keesokan harinya. Jika esoknya dia masih gagal, dia cuba kembali pada
hari lusanya. Yang pasti dia tidak akan memilih untuk duduk diam tanpa
usaha yang berterusan.
Seringkali manusia lupa bahwa hidup didunia berbeda dengan
akhirat. Diakhirat segala sesuatu menjadi serba kekal. Seseorang hanya
akan merasakan bahagia yang terus menerus didalam Syurga, atau
sebaliknya mendapat siksa yang kekal di Neraka Jahannam. Sebaliknya
kehidupan didunia bersifat fana, sementara dan penuh pancaroba.
Suka-duka, berjaya-gagal,rahmat dan bencana datang silih berganti. Pada
suatu ketika seseorang itu berada diatas manakala pada ketika yang lain
dia berada dibawah. Dalam suasana yang demikian sifat sabar amat
diperlukan.
Oleh itu sifat sabar perlulah menjadi pakaian hidup kita. Kita
bersabar dan istiqamah dan kekal didalam keimanan kepada Allah s.w.t dan
rukun-rukun iman yang lain. Kita bersabar untuk sentiasa hidup dan
melaksanakan ajaran-ajaran Islam yang sempurna sebagai ad-deen, semuga
dengan ini, insya Allah dengan berkat kesabaran kita didunia, kita akan
dapat menikmati kebahagian kehidupan yang kekal abadi di hari Akhirat.
-Dz-Dlabellas.
sumber : oase iman, eramuslim